Saturday, January 17, 2015

Nasi dan Kuah

"Ummi terbaca kisah Raja Shamri di Facebook. Dia pernah makan nasi dan kuah sahaja. Ummi teringat pada Akak."

Suara Ummi jelas di hujung talian.

"Tapi, Akak belum sedahsyat itu Ummi. Bukan juga sedahsyat Prof Kamil yang hanya makan nasi berlauk ikan dan kicap setiap hari. Akak boleh survive insya-Allah. Masih dikira mewah."

Ummi terus menukar topik perbualan.
Saya tahu, Ummi kasihan.

Tetapi, saya juga tahu, Ummi sedar itu ialah harga yang perlu dibayar untuk merealisasikan impian. Bukan impian kecil, tetapi besar.

Lauk harian saya ringkas dan mudah.
Nasi berlauk seketul ayam. Makanan tersebut dibahagi dua, untuk dimakan pada waktu malam.

Seorang kawan pernah bertanya, "Sehari awak belanja berapa?"

"Kurang empat ringgit."

"Macam mana tu? Standard di sini sekali makan paling-paling sekeping not hijau, kot."

Saya tersenyum.
Saya pasti, ada yang berbelanja lebih sedikit daripada itu.

"Ia bukan bergantung pada kuantiti makanan, tetapi keberkatan. Sedikit, tetapi berkat, sudah cukup mengenyangkan."

No comments:

Post a Comment