Monday, March 30, 2015

Mac yang Gembira

"Aduhai, sekejap sahaja masa berlalu. Pejam celik sudah akhir Mac!" ujar seorang rakan.

"Apa perkara yang paling awak gembira lakukan sepanjang Mac ini?"

"Lepak di perpustakaan sehari suntuk. Syurga dunia!"

"Memanglah. Perpustakaan sejuk macam kutub utara."

"Awak?"

"Belajar melakukan sesuatu dengan gembira."

Hidup dengan gembira atau gembira dengan hidup.

Sunday, March 22, 2015

Daging dari Langit

"Ummi, boleh tak kita pergi pasar Sabtu ini. Akak teringin makan lauk daging," ujar saya.

Ummi mengangguk.

Hari berganti hari.
Akhirnya, Sabtu tiba.

"Akak, kita tidak pergi pasar dulu ya? Ummi nak uruskan Wan."

"Okey," balas saya, menyembunyikan kecewa.

Waktu berlalu seperti biasa.
Bezanya, kami mendapat banyak panggilan telefon.
Antaranya, panggilan jiran kami, seusai maghrib.

"Datang lepas maghrib? Boleh," ujar Ummi di corong telefon.

Setelah meletakkan ganggang, Ummi keluar.

Saya masih leka menonton video bersama Wan.

"Akak, tengok ni!" ujar Ummi sebaik sahaja masuk ke rumah.
Tangan Ummi penuh dengan bungkusan berisi makanan.

"Apa, Ummi?"

"Ada daging!"

Saya kaget.

Allah... Betapa Dia maha mendengar, menunaikan keinginan hambaNya yang marhaen.

Ini benar-benar daging dari langit!

Thursday, March 12, 2015

Ayam. Pandai.

"Awak, nah."

Saya meletakkan pisau di atas pinggan lalu menyambut plastik yang dihulur kawan. "Terima kasih."

"Awak, nak tahu?"

Saya mengangkat kening. "Tahu apa?"

"Sebenarnya, itu pertama kali saya beli ayam. Saya tidak pernah beli ayam di pasar."

Saya tersenyum mendengar pengakuannya.
Telus. Polos.

"Sekarang dah pandai kan?"

Dia mengangguk, tersenyum.
Saya mencapai pisau dan sambung memotong sayuran.

Teringat pesan Ummi ketika saya merungut sukarnya menghiris lobak semasa kecil.

Kata Ummi, "Hiris nipis-nips dan pastikan konsisten saiznya. Kalau tak cuba, macam mana nak pandai."

Tuesday, March 10, 2015

Pakcik Kunci

Saya ke kampus seawal selalu,
Mengambil kunci kelas.

Pensyarah belum tiba, jadi, kunci dipulangkan sejurus membuka kunci kelas.

Pakcik Kunci masih di bilik, serupa keadaannya sebagaimana  saya mengambil kunci.

"Terima kasih, Pakcik," ujar saya menghulurkan kunci.

Balas Pakcik Kunci, "Terima kasih juga. Exam ya, hari ini? Jawab soalan elok-elok."

Saya mengangguk. "Doakan kami cemerlang."

"Sudah tentu, pakcik doakan kamu."

"Terima kasih, pakcik."

Saya melangkah keluar dari bilik Pakcik Kunci.
Keprihatinan Pakcik Kunci benar-benar membuat saya tersenyum hari ini.




Wednesday, March 4, 2015

Malas

"Malasnya... Macam mana nak lawan rasa malas ni."

"Saya kenalkan awak dengan beberapa orang yang tidak malas, mahu? Kita belajar daripada mereka."

"Wah, teruj..."

Belum sempat bicara saya selesai, rakan saya itu berkata, "Tapi ada syarat.

"Huh?"

"Selama seminggu, kita perlu keluar ke kampus seawal 6.50 pagi. Hanya dengan itu, kita dapat bertemu mereka."

Jelas pelik, tetapi, saya mengangguk sahaja.

Itu perbualan seminggu lalu.
Hari ini, genap seminggu kami keluar ke kampus awal pagi.
Namun, tiada orang yang kami ketemu.
Dan pasti, itu menjadikan saya bingung.

"Bila kita nak jumpa?

"Sebenarnya, setiap hari kita jumpa mereka."

"Mereka itu siapa sebenarnya?"aju saya, tidak puas hati.

"Tukang sapu yang datang ke kolej setiap pagi. Betapa mereka tidak pernah malas atau bosan menyapu daun kering yang berguguran. Bayangkan, mereka membuat kerja yang sama dan seolah tidak pernah selesai? Mana mungkin daun berhenti gugur. Namun, mereka tidak pernah merungut, dan terus menyapu."

Lantas, saya terdiam.
Jika saya malas, alangkah malunya saya kepada tukang sapu.

Namun, saya lebih malu kepada Tuhan kepada tukang sapu, yang tidak pernah malas dan bosan mengurniakan rahmat dan nikmat kepada setiap makhluk.