Saturday, January 31, 2015

Baling Selipar

"Jom main baling selipar," ajak seorang rakan.

"Maaf, saya mahu ke KLCC esok."

"Oh," balasnya, sedikit hampa.

"Kalian tahu, baling selipar ini realiti hidup?" celah seorang senior yang duduk berteleku tidak jauh dari kami.

"Maksudnya?" ujar saya, membetulkan duduk.

"Dalam hidup ini, kita sentiasa berusaha gilap potensi diri, seperti mana kita bina 'menara selipar'. Namun, ada musuh yang sentiasa bersedia menyerang dan membantutkan usaha kita."

"Musuh?"

"Ya, musuh, atau lebih maklum sebagai syaitan. Sebab itu, kita tidak boleh baling selipar sorang-sorang. Hidup ini juga tidak boleh sendirian. Seekor kambing lebih mudah diterkam serigala," balas senior tersebut, menguntum senyum.

"Awak main baling selipar sorang-sorang?" aju saya, berpaling kepada kepada rakan di sebelah.

"Kami berlima. Perlukan lagi seorang."

"Cuba ajak senior tu."

"Senior mana?"

"Yang duduk dekat dengan kita tadi. Dia analogikan baling selipar dengan hidup," balas saya.

Rakan saya menggaru kepala. "Ada senior tadi? Saya rasa, hanya kita berdua di ruangan ini."

"Heh?"

Januari

Hari terakhir Januari 2015.
Saya menjalankan kajian ringkas.

"Apa yang awak dah kecapi?"

"Saya berjaya mendapatkan lesen memandu," jawab seorang pemuda yang telah memecahkan rekod dunia dengan menduduki ujian memandu JPJ sebanyak 19 kali.

"Saya sudah pandai membuat pastri," jawab seorang suri rumah.

"Saya berjaya melintas jalan sendiri," jawab seorang pelajar darjah satu.

"Saya telah menghabiskan tiga novel. Ini novel keempat," jawab seorang ulat buku.

"Saya berjaya mengamalkan rutin memakan sebiji buah sehari secara konsisten," jawab seorang pesakit darah tinggi.

"Saya berjaya ke tempat kerja dengan senyuman setiap pagi," jawab seorang pengurus.

"Saya sudah pandai makan sayur sawi," jawab seorang remaja yang tidak suka sayur.

"Saya sudah berjaya melepasi fasa anak toilet-training," jawab seorang ibu muda.

"Saya sudah dapat bezakan mana tangan kanan dan tangan kiri. Eh, terbalik," jawab seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.

Semua jawapan berbeza.
Namun, masing-masing tersenyum lebar ketika menceritakan kejayaan dan pencapaian dalam bulan Januari.

"Dina, apa yang sudah awak kecapi dalam Januari ini?"

"Saya sudah berjaya memahami hakikat di mana kita perlu hargai kejayaan kecil untuk mencapai kejayaan besar."

Itu pencapaian saya dan beberapa orang yang sudi ditemuramah.
Apa yang sudah saudara/saudari kecapi Januari ini?

Mahir

"Mana pakcik bas ni... Nanti kita lambat," keluh seorang rakan.

"Awak sahajalah yang pandu bas. Biar cepat sampai," ujar seorang yang lain.

"Nanti tergolek bas, kosong dewan ujian," rakan yang mengeluh tadi, berseloroh.

"Ala... awak kan pandai pandu kereta."

"Bas lain, kereta lain. Perlu ada kemahiran."

Saya tersenyum.

Jauh di di sudut hati, teringat skrip pementasan yang perlu disiapkan.

"Seni menulis buku kanak-kanak, novel dan skrip - sangat jauh berbeza. Kemahiran teknikal dan kemahiran berhubung sesama manusia, lebih banyak beza."

Namun, ramai yang menyangka, seorang pemandu kapal terbang mahir memandu kereta. Malah, seorang peladang seringkali disangka boleh bekerja sebagai petani.

Lalu, saya terfikir, andai wujud satu hari di dunia, di mana majikan berperanan sebagai kuli, isteri berperanan sebagai suami, bapa berperanan sebagai ibu, murid berperanan sebagai guru... Pendek kata, hari role-switch. Apa jadi agaknya?

Tiba-tiba, seorang rakan menjerit, "Pakcik bas dah sampai!"

"Alhamdulillah... Kalau saya yang perlu memandu, tidak sampai kita ke destinasi. Saya hanya mahir belajar, tetapi tidak mahir memandu bas," sahut seorang yang lain, disusuli tawa.

Saya tersenyum.
Nampaknya, saya tidak perlu berimaginasi tentang 'hari role-switch'.
Rakan saya sudah menjawab tanpa sedar.

"Awak memang hanya mahir belajar, manakala pakcik mahir memandu bas. Tapi, semua orang ada kemahiran tersendiri, supaya kita saling melengkapi. Dunia lebih indah begitu, bukan?"

Monday, January 26, 2015

Gawat!

"Ekonomi negara sedang mengalami kegawatan."

"Siapa cakap?"

"Baca di akhbar tadi."

"Ekonomi sahaja yang gawat?"

"Ya."

"Pasti?"

"Hah? Ada benda lain yang alami kegawatan juga?"

"Ya, banyak yang gawat."

"Contoh?"

"Contoh mudah, isu remaja peluk artis korea beberapa ketika dahulu."

"Oh, keadaan remaja kita memang gawat!"

"Itu satu perkara. Apa yang menyebabkan boleh jadi begitu? Media massa yang paparkan cerita yang cetek nilai. Institusi kekeluargaan yang rapuh. Ibu bapa tonton cerita yang kurang sesuai bersama anak. Kononnya 'family time'."

"Media massa dan institusi kekeluargaan pun gawat!"

"Itu belum campur sistem persekolahan yang bukan lagi mendidik dan mengajarkan ilmu, tetapi hanya menurunkan ilmu."

"Alamak, dunia sekarang sudah gawat!"

"Ya, memang gawat!"

"Dina, Kenapa? Dari tadi asyik sebut gawat?"

Saya mengangkat kepala dari meja.

"Ngigau? Cepat, lagi sepuluh minit lagi kelas akan bermula," ujar rakan di sebelah. 

"Alamak, saya belum solat Zuhur. Gawat!"

Tuesday, January 20, 2015

Bank Idea

"Idea saya selalu datang tiba-tiba. Tidak sempat catat, sudah hilang," keluh seorang kenalan.

"Saya pula selalu lupa apa saya nak buat. Cuba buat senarai tetapi, tidak menjadi. Asyik hilang kertas senarai," keluh seorang yang lain.

"Selalu on Whatsapp?" aju saya.

Kedua-dua kenalan saya mengangguk.

"Buat satu group Whatsapp khas untuk diri sendiri. Group itu menjadi bank idea, list-to-do dan reminder," balas saya.

"Hah? Tetapi, mana boleh add diri kita sahaja. Mesti ada orang lain, baru buat group."

"Begini..." ujar saya, mula mencatat di atas kertas.

1. Tubuhkan Group Whatsapp dan letakkan nama

2. Add seorang (jika perlu, maklumkan kepada orang tersebut.)

3. Apabila group sudah ditubuhkan, remove orang tersebut.

4. Mula mencatat idea.

Saya hulurkan kertas tersebut kepada dua kenalan tadi.

"Boleh letakkan link url, idea, list-to-do dan macam-macam lagi. Selain di Whatsapp, boleh juga buat group di Facebook."

"Wah!"

"Secara peribadi, saya dan Ummi ada group khusus kami berdua sahaja. Di situ ialah tempat kami berbincang atau kongsikan bahan. Lagipun, tidak semua benda sesuai ditonjolkan di khalayak umum."

"Selama ini saya sangka Whatsapp dan Facebook hanya sesi lepak di kedai kopi."

"Tidak salah lepak di kedai kopi. Tetapi, kita sendiri menentukan, bagaimana sesi lepak tersebut boleh memberi manfaat."

Serius?

Kami duduk menongkat dagu di bahu jalan.
Baju juga sudah basah dek peluh.

"Macam mana ni? Teksi enggan datang, tempat ini agak jauh."

"Tuhan akan datangkan pertolongan," ujar saya, memandang sekeliling.

Mata saya tertumpu kepada sebuah kereta.
Tidak semena-mena, bibir menguntum senyum.

"Saya ada idea."

"Apa?"

Bibir dijuihkan ke arah kereta tersebut.

"Serius? Awak kenal mereka?"

"Tak."

Rakan saya masih terkebil-kebil.
Saya menarik tangannya.

"Assalamualaikum, Tuan, Puan. Maaf mengganggu. Kami mahu minta tolong boleh?" ujar saya.

"Waalaikumussalam. Ada apa ya?" ujar seorang wanita muda, menjeling suami di tempat pemandu.

"Andai tidak keberatan, boleh Puan dan Tuan hantarkan kami ke mana-mana stesen bas berdekatan? Kami cuba hubungi teksi, namun, tiada yang mahu datang jemput."

Agak lama pasangan tersebut diam.  Akhirnya...

"Baiklah."

Kami berpandangan, tersenyum.

"Tuhan pasti datangkan pertolongan. Adakala, dari jalan yang tiada disangka."

Saturday, January 17, 2015

Sembilan Belas

'Tahukah saudara, seorang penulis di bawah alumni kursuspenulisan.com berusia 19 tahun?'

Saya merenung status tersebut.

"Apa istimewanya 19 tahun?"

"Mungkin sebab tahun terakhir berpangkalkan angka satu."

"Tetapi, kenapa usia 9 atau 29 tahun tidak dianggap istimewa?"

"Mungkin usia 19 tahun ialah penanda aras seseorang akan melangkah ke alam dewasa."

"Tetapi, kematangan dan kedewasaan tidak diukur dengan usia."

"Mungkin sebab fokus individu berusia 19 tahun selalunya berkait pelajaran, bukan kerjaya atau membina empayar kehidupan."

"Tetapi, saya kenal ramai anak muda yang hebat, jauh lebih muda dan sudah melakar sejarah. Jadi, apa istimewanya 19 tahun?"

"Pendapat awak?"

"Apa yang tahu, saya sentiasa 19..." jawab saya.

"Eh, mahu perasan muda?"

"Saya lahir pada tarikh 19. Alamat rumah juga angka19. Jadi, bak kata orang putih, 'I am always nineteen'."

"Mungkin, itu sebab usia 19 tahun istimewa."

"Mungkin. Tetapi, istimewa itu bukan ditentukan oleh had usia, tetapi sebanyak mana amal kebaikan yang sudah kita sebarkan di muka bumi."

"Baiklah. Selamat menyambut ulang tahun kedua...eh, kesembilan belas tahun."

Pink

Seorang rakan saya sangat suka warna pink (merah jambu).
Hampir semua barangnya berwarna pink.

"Saya selalu hilang barang atas katil," dia mengadu.

"Kenapa?"

"Sebab semua warna pink."

"Jadi, kami perlu hadiahkan awak suatu warna yang bukan pink. Warna kelabu, atau warna hitam."

"Tetapi, saya sudah ada barang warna hitam," ujarnya, mencapai tetikus.

"Ya, hitam. Tapi ada garis pink!" ujar saya, menepuk dahi.

Dia tersipu-sipu.

"Andai satu hari nanti awak tidak suka lagi warna pink, apa yang akan awak buat dengan barang-barang awak? Awak masih guna atau buang?"

Kerana orang itu bukan barang.
Waktu suka, bersungguh-sungguh menjaga.
Waktu benci atau tidak lagi diperlukan, dibuang.

Shanghai Greeters dan IELTS

Kami - saya, Cikpuan Coach, Tuan Ilustrator dan Tuan Sifu, sedikit terkejut dengan kedatangan tiga orang Shanghai Greeters.

"Kami tidak sangka seramai ini."

"Oh, bukan. Kedatangan kalian diuruskan oleh seorang sahaja, Rocky. Tetapi, Rocky boleh minta bantuan ahli Shanghai Greeters yang lain," jawab Shalina, petah berbahasa Inggeris.

Kami mengangguk. "Saya suka cara kalian berbahasa Inggeris. Petah!"

"Terima kasih," jawab Anne tersipu-sipu, "Tetapi, belum cukup bagus. Kami perlu berlatih lebih gigih. Sebab itu kami sertai Shanghai Greeters."

Saya terkedu.

"Slank persis orang Amerika, tetapi, mereka kata belum cukup bagus. Apa definisi 'cukup bagus' mereka?"

Hampir-hampir soalan itu diajukan.
Mujur ia hanya bermain di benak.

"Semua orang perlu berlatih berbahasa Inggeris. Practice makes perfect," ujar Cikpuan Coach.

Semua mengangguk setuju.

Ya, saya sendiri perlu berlatih berbahasa Inggeris.
Ujian IELTS berlangsung kurang dari 10 hari. 

Mudahan-mudahan, cemerlang hanya dengan sekali ujian.
Amin!

Kasih Mama

"Apa khabar Acu... Sihat ke tidak, dah makan ke belum."

Saya merenung Mama (nenek) yang tersandar di sofa.
Saya tahu, Mama rindu anak bongsu yang sabar menyantuni saban hari.

"Mama nak berbual dengan Acu?"

"Boleh juga. Tetapi, mahal."

"Akak guna internet, Mama."

Maka, saya menghubungi Acu menerusi Whatsapp.
Kami cuba membuat video call menerusi Hangout dan Talk, namun tidak berjaya.

Akhirnya, kami cuba menggunakan Skype.
Alhamdulillah, line clear.

Lalu, saya serahkan telefon kepada Mama.

"Assalamualaikum. Sihat?"

Perbualan Mama dan Acu tidak lama.
Saya fikir, kurang dua minit.

Saya menggaru-garu kepala, keliru.
Sepanjang dua minggu berjauhan dengan Acu, hampir setiap hari Mama akan ucap, "Apa agaknya khabar Acu."

Namun, apabila diberi peluang berhubung secara langsung, hanya dua minit bercakap.

Lalu, saya menceritakan hal tersebut kepada Ummi. 

Jawab Ummi, "Itu ingatan ibu kepada anak."

Saya tersenyum.

"Kasih seorang Mama."

Two

"What are you doing right now?"

"I am waiting the shop to open. I need to buy a bag for Wan," Ummi replied.

"What have happened?"

"His previous bag could not be used any more. On the first week of school, I had to mend it. So, I decided to buy him a new one, with better quality, of-course."

"And it is black and red!" shouted Wan from the other side of the phone. Still, it could be heard clearly.

"What? He put so many stuffs in the bag, didn't he?"

"Definitely."

I giggled. "Just like his sisters."

"Indeed."

"I remembered Abang using the same bag to school for nearly two years."

"Wan also used the same bag for two... days."

Longkang

"Saya sangat nakal semasa kecil," ujar seorang rakan.

"Apa awak buat?"

"Suatu hari, saya ikut ibu dan abang berbelanja dan saya hilang. Jadi, saya ambil keputusan tunggu di kereta. Tetapi, sebelum sampai ke kereta, saya perlu lintas satu longkang yang sangat besar."

"Habis, apa awak buat?"

"Saya masuk longkang dan panjat keluar semula. Habis basah kuyup."

Kami tertawa.

"Kemudian, saya dijumpai seorang penjual lain. Katanya, saya menyanyi riang ketika keluar longkang. Sudahlah kuyup, boleh menyanyi pula," rakan saya itu menambah.

"Ibu awak tidak cemas?"

"Tentulah cemas. Sejak itu, setiap kali pulang kampung, saudara saya akan kata 'Oh, ini yang hilang dulu, kan?'. Cerita itu diulang sesama ahli keluarga, tetapi kami tidak pernah bosan."

Saya mengangguk.
Benar, ada cerita yang diulang sekali, sudah cukup mual.
Ada cerita yang diulang beribu kali tetapi langsung tidak bosan.

Seperti kisah dalam Al-Quran.
Diulang, dan terus diulang. Namun, tiada yang jemu.

Mangsa Banjir

"Semua hadir?"

"Ada seorang pelajar tidak dapat hadir. Minggu depan baru dia hadir. Dia mangsa banjir," ujar saya.

Serentak, seisi kelas tertawa.

"Wow, mangsa banjir."

Saya terpinga-pinga. "Saya ada salah cakap ke?"

"Bukan. Apa yang awak cakap betul. Tetapi, macam buku sangat. Selalunya, orang di sini sebut 'Dia kena banjir'. Awak sebut 'mangsa banjir'," balas kawan yang duduk di sebelah.

Saya mengangguk, faham.
Sehingga kini, istilah 'mangsa banjir' disinonimkan kepada saya (meski saya bukan mangsa banjir).

Saya berkira-kira, kalau saya cakap 'dia kena banjir' ketika berbual dengan kelompok koperat atau orang industri, apa agaknya reaksi mereka.

Seni berkomunikasi mengikut tempat.
Meski remeh, ia sangat signifikan.

Nota kaki : Mendoakan mangsa banjir diberi kekuatan untuk membangunkan kembali apa yang roboh, sama ada ada dari segi material, jiwa atau emosi.

Seni

"Semalam, Mama (nenek sebelah ayah) telefon Ummi. Dia cerita pengalaman di Tanah Suci. Mama kata, Akak dah jadi macam dayang Mama, iring Mama ke sana dan ke mari."

Saya tertawa.

"Akak rasa, Allah bagi study-case tentang thesis Akak."

"Apa study-case-nya?"

"Jurang antara generasi. Selalunya, zaman sekarang, orang muda fokus kepada seni mendidik anak-anak. Tetapi, kita terlupa lagi satu seni dan kemahiran yang perlu ada - seni menyantuni orang tua."

"Betul," balas Ummi.

"Akak tabik dengan Acu (bapa saudara). Macam mana dia sangat sabar melayan Mama. Ummi doakan Akak jadi sesabar itu ketika menyantuni mana-mana orang tua, terutama ketika Ummi tua kelak."

Namun, ayat terakhir itu sengaja disekat di kerongkong.
Biarlah, tindak-tanduk saya berbicara.

Saya tidak mahu jadi tin kosong, berbunyi lebih, tiada berisi.

Nasi dan Kuah

"Ummi terbaca kisah Raja Shamri di Facebook. Dia pernah makan nasi dan kuah sahaja. Ummi teringat pada Akak."

Suara Ummi jelas di hujung talian.

"Tapi, Akak belum sedahsyat itu Ummi. Bukan juga sedahsyat Prof Kamil yang hanya makan nasi berlauk ikan dan kicap setiap hari. Akak boleh survive insya-Allah. Masih dikira mewah."

Ummi terus menukar topik perbualan.
Saya tahu, Ummi kasihan.

Tetapi, saya juga tahu, Ummi sedar itu ialah harga yang perlu dibayar untuk merealisasikan impian. Bukan impian kecil, tetapi besar.

Lauk harian saya ringkas dan mudah.
Nasi berlauk seketul ayam. Makanan tersebut dibahagi dua, untuk dimakan pada waktu malam.

Seorang kawan pernah bertanya, "Sehari awak belanja berapa?"

"Kurang empat ringgit."

"Macam mana tu? Standard di sini sekali makan paling-paling sekeping not hijau, kot."

Saya tersenyum.
Saya pasti, ada yang berbelanja lebih sedikit daripada itu.

"Ia bukan bergantung pada kuantiti makanan, tetapi keberkatan. Sedikit, tetapi berkat, sudah cukup mengenyangkan."

Peram

"Pergi?"

"Bukan tahun ini," jawab saya.

"Kenapa? Mungkin peluang sebegitu hanya datang sekali."

"Saya tahu."

"Jadi, kenapa tidak pergi?"

"Tidak semua yang datang perlu diambil serentak.  Seorang guru saya pernah berpesan, kita boleh petik buah yang muda. Namun, adakala, kita perlu menunggu buah masak ranum. Peram, tetapi jangan sampai busuk."

"Terserah. Kalau saya jadi awak, saya pergi."

Saya diam.
Perlahan-lahan, tangan mencapai sampul surat yang berisi kepingan ringgit.Dikira jumlah duit.

"Masih jauh sebelum cukup. Sometimes, big things start with small ones."

Thursday, January 15, 2015

Yang Mana Lebih Zalim?

"Yang mana lebih zalim, membunuh manusia atau membunuh potensi manusia?"

Tidak berkedip mata beliau memandang saya.

"Pembunuh potensi manusia," jawab kawan saya itu.

"Kenapa?"

"Sebab menghapuskan harapan manusia untuk terus hidup."

"Make sense. Yang mana lebih zalim, membunuh potensi diri atau membunuh potensi orang lain?"

"Kenapa Dina tanya soalan pelik-pelik?"

Saya tidak menjawab.
Cuma, fikiran terkenang akan perbincangan puisi 'Daddy' karya Sylvia Plath dalam kelas Sastera Kontemporari.

Puisi dan kisah hidup yang menyakitkan, penuh beban.

Andai sahaja dia mampu memaafkan diri,
Pasti dia tidak membunuh diri dengan cara tragik.

Andai sahaja dia mampu memaafkan orang lain,
Pasti dia sedar, hidup ini penuh dengan peluang dan harapan.

Andai sahaja dia punya iman,
Pasti dia tahu, Tuhan itu ada dan dekat,
Sangat dekat.

Wednesday, January 14, 2015

Four Flat

"Anda perlu mencapai four-flat."

Saya terdengar keluhan di kalangan kawan-kawan.

"Four flat tidak menjamin kebahagiaan," ujar salah seorang daripada kami.

Saya diam.
Ada benarnya di situ.
Namun, muslim itu perlu berusaha yang terbaik.

"Saya dahulu, tekad mahu ke luar negara, dan benar-benar berusaha. Saya berjumpa dengan..." panjang lebar pakar motivasi bercerita di pentas.

Namun, semakin panjang ucapan beliau, semakin ramai yang keluar dewan.

Saya merenung diri sendiri.

Bisik seorang kawan, "Nyata, zaman sudah berubah. Cara memotivasikan generasi X tidak sama dengan cara generasi Y. Generasi Z (generasi saya) apatah lagi. Bezanya lebih jauh dari langit dan bumi."

Lama saya diam.
Celoteh pakar motivasi seolah angin lalu, langsung tidak menyentuh gegendang.

"Siapa yang sebenarnya syok sendiri? Mereka, kami atau saya?"

Lalu, saya terfikir, bagaimana agaknya Rasulullah berjaya membentuk generasi muda juga generasi bukan-muda.

Adakah wujud buku yang menceritakan perkara sebegitu?
Atau mungkin, mentor yang sudi berkongsi ilmu?

Monday, January 12, 2015

Kunci

Setiap hari, sebelum jam 7.15 pagi, saya sudah ada di kawasan kampus.

Setiap hari juga, saya ditugaskan mengambil kunci kelas.

"Assalamualaikum, Encik. Saya mahu..."

"Kunci bilik 303," ujar pegawai yang bertugas, menghulurkan kunci yang dikehendaki.

Saya tersenyum dan kunci bertukar tangan.
Saya menyerahkan kad pelajar saya kepada beliau, namun ditolak.

"Tidak perlu. Lepas buka kunci, terus pulang ke sini."

Saya terpinga-pinga.

"Terima kasih."

"Sama-sama."

Saya menapak keluar, masih hairan.
Namun, bila difikirkan semula, tiada apa yang perlu dihairankan.

Pesan seseorang kepada saya, "Akhlak baik yang ditonjolkan menjadikan orang percaya, meskipun orang itu tidak pernah kita kenal. Kerana akhlak itu punya kuasa yang unik."

Benar, akhlak itu seolah magis.

Berakhlaklah, walau sekadar dengan memulangkan kunci tepat pada waktu.

Berjaya

"Tengok ini."

"Wawa, masuk kali ini sahaja, Akak fikir, sudah lebih lima kali Wawa mengulang cerita yang sama."

Wawa tersipu-sipu.
Dia begitu teruja dengan kejayaan  yang baru sahaja dicapai.

Kejayaan Wawa tidak gah.
Bukan mendapat anugerah dekan.
Bukan juga menang bertanding dalam pilihan raya.

Tetapi, Wawa berjaya untuk pulang dengan menaiki pengangkutan awam.

Adakah pencapaian begitu dikira kejayaan?

Bagi kami, khususnya Wawa, ya.
Kerana itu kali pertama Wawa pulang bersendirian.
Ertinya, Wawa perlu berani dan yakin diri.
Dan ternyata, Wawa berjaya.

Ia perkara remeh, namun signifikan.
Kerana kejayaan besar bermula dengan kejayaan-kejayaan kecil.

"Tahniah, Wawa!" 

Friday, January 9, 2015

The Old, Chinese Man

Bismillah.

An old, Chinese man was struggling with his wheelchair.

"Sir, let me help you."

"Thank you. It is so nice of you," he replied.

I smiled, pushing his wheelchair to the ticket counter.

"So, where are you from, sir?" I asked, since he was carrying lots of books and brochures.

"I am from an educational fair. There, we were told that to conquer the world, one must have a wide range of knowledge and ability to speak in multi-language. Do you know other language beside Malay and English?"

"Well, I know Chinese and Arabic."

"Oh, Arabic! Kaifa halak means how are you?. Syukzan means thank you, am I right?"

"It is supposedly pronounced as syukran with an 'r', not 'z', sir."

"Oh, syukran."

I nodded.

Indeed, I was impressed.
Despite of his disabilities, the old man is very determined in improving his life.

Even I am not that determined!
Shame on me.

Still, there's always spaces for us to keep improving and developing ourselves.
Just give yourself chance; once, twice or maybe more.

Because people who afraid of making mistakes would never learn something new.

"We Need You."

Bismillah. 

"So, class, today, we will start by learning a brief history of this particular subject. It was a result of the effort to explain the Great Depression in 1930's," said the lecturer. 

"Isn't that the time when the rate of unemployment is high?"

"Yes. During that moment, even a car was sold for less than hundred bucks. Robbery was a norm. Unemployment has caused many people to commit suicide, just like what happened in China and Japan. In fact, in Germany, people would use cash as fire woods due to the high price of fire woods."

"Wow. I never thought something that is so valuable could be priceless."

"Now you know, right? Thus, it is very crucial for people like you - psychologists-to-be, to understand economy. During hard time, people will need your help."

"How about during the normal period?"

"Well, I think those who need help in managing their assets would come to see you," said the lecturer, making all of us laugh. 

"Still, the nation need you. We need you," the lecturer emphasized. 

My friends and I smiled. 
Feeling appreciated  is the nature of all human. 

However, nowadays, only certain achievements are considered as a part of success and being appreciated. 

I wonder, what would happen to the world in the next ten years? 
Does the word 'appreciate' still exist? 

"Okay, now, back to our lesson."

It was neither sociology nor psychology class. 
It was Macroeconomics. 

Itu Almond!

"Ini apa?"

"Kurma yang disalut dengan madu dan bijan," jawab saya, menghulurkan bekas yang berisi manisan dari Tanah Arab kepada rakan sekelas. 

Masing-masing mengambil sebiji lalu dikunyah. 

Tiba-tiba, salah seorang daripada kami separa menjerit, "Hei! Kenapa buang? Itu almond, bukan biji."

"Alamak! Saya sangka biji."

"Silap saya juga, terlupa beritahu itu almond."

Kami semua tertawa. 

"Kasihan dia. Dahlah almond mahal," bisik seorang rakan.

"Nama pun tidak sengaja. Tetapi, dalam hidup, kita kerap membuang almond."

"Hah?" 

"Kita analogikan almond ialah kelebihan yang Tuhan kurniakan buat kita. Berapa ramai daripada kita memanfaatkan kelebihan kita dengan cara yang wajar dan benar?"

"Itu satu perkara. Bagaimana pula almond orang lain? Manusia itu berbeza-beza, seperti kacang almond yang berbeza saiz dan tona warna. Adakah kita benar-benar menghargai almond diri dan orang lain?"

Kami sama-sama diam. 

Lalu, saya teringat persepsi masyarakat yang sering mengatakan hanya orang yang mempunyai kelebihan dalam bidang sekian-sekian (nota : saya fikir tidak perlu dinyatakan secara jelas di sini) terjamin kebahagiaan dan keselesaan hidup. 

Adakah kebahagiaan hidup itu dijamin oleh bidang tertentu? 
Adakah keselesaan hidup itu diukur melalui kelebihan tertentu?

Jika benar begitu, apa gunanya Tuhan menciptakan manusia berbeza dengan kelebihan masing-masing?

Ia peristiwa ringkas, tetapi cukup membuatkan kami berfikir panjang. 

Agaknya, berapa banyak almond yang sudah saya buang?

Diplomat

Bismillah.

Lapangan Terbang King Abdulaziz di Jeddah tidak begitu besar.
Ruangan imigresen di situ sentiasa penuh dengan manusia yang berbaris menunggu giliran.

"Agaknya, ini rupa di padang mahsyar kelak," ujar saya kepada nenek yang sudah mulai kepenatan kerana terpaksa beratur panjang.

"Di padang mahsyar itu lebih..."

Belum sempat nenek menghabiskan bicara, kami didekati seorang pegawai bertugas.
Beliau meminta kami mengikut beliau.

Saya dan nenek terpinga-pinga.
Namun, kami akur.

Papan tanda di situ jelas tertera perkataan 'Diplomat'.
Maksudnya, barisan itu khusus untuk diplomat, bukan orang awam.

Pegawai tersebut membawa kami ke barisan paling hadapan.
Terkebil-kebil saya memandang pagawai tersebut.

"Tafadhali, ukht." (Silakan, saudari.)

Saya membalas, "Syukran. Jazakallah." (Terima kasih. Moga Allah mengganjari kamu.)

Pegawai tersebut tersenyum dan berlalu pergi.

"Kenapa kita beratur di sini, Kakak?" aju nenek yang masih kehairanan.

Lidah saya kelu.

Jauh di sudut hati, terasa agungnya kuasa Tuhan.

"Agaknya, inilah rasa masuk syurga tanpa hisab. Nikmatnya tiada terkata!"

Tukang Sapu

Bismillah.

Masjidil Haram (Mekah) atau Masjid Nabawi (Madinah) tidak pernah sunyi.
Manusia dari segenap pelosok bumi datang bersinggah.

Namun, masjid tersebut sentiasa bersih dan terjaga.
Almaklum, ahli gerakan unit kebersihan , atau bahasa mudahnya tukang sapu, juga ramai.

Melihat tukang-tukang sapu di masjid ini membuatkan saya teruja.
Mereka seolah-olah sangat menikmati kerjaya mereka.

Pernah suatu pagi, sekumpulan tukang sapu menyimbah air sabun ke lantai.
Dengan penuh riang, mereka meluncur beramai-ramai bersama batang mop, seolah di gelanggang ice-skating. 

Lalu, saya terfikir, "Apakah yang menyebabkan mereka begitu menikmati kerjaya sebagai tukang sapu?"

Maka, saya bertanya kepada beberapa orang tukang sapu.

"Saya datang ke sini kerana mahu berjiran dengan Rasulullah. Di sini, hari-hari saya dapat ziarah baginda. Moga-moga, saya berjiran dengan baginda sampai ke syurga."

"Saya mahu memahami Islam yang sebenar. Di sini, saya melihat Islam itu untuk semua manusia, bukan hanya bangsa Arab."

"Memang impian saya menetap di Bumi Barakah."

Saya menguntum senyum.
Aju saya lagi, "Tetapi, kenapa pilih menjadi tukang sapu?"

"Sebab memang cita-cita saya sejak kecil, cik. Namun, saya masih ada kerja sampingan," jawab salah seorang daripada mereka.

"Apa? Berniaga?"

"Bukan, saya jurutera yang terlibat dalam projek pembinaan masjid."

Saya terlopong.
Rupanya-rupanya masih wujud golongan manusia sebegini.

Mereka adalah 'ayat-ayat' Tuhan yang nyata.
Namun, hanya manusia yang celik mata hati, akan mampu melihat.