Sunday, December 14, 2014

Gagal

Bismillah.


Bohong jika saya katakan ada manusia yang tidak pernah gagal.

Gagal itu lumrah.
Daripada kegagalan, kita belajar sesuatu.

Saya masih ingat bagaimana sukarnya untuk lulus ujian memandu. 
Ujian pertama, kedua dan ketiga, semuanya gagal. 

Saya juga ingat, bagaimana buntunya apabila hasil kerja dipulangkan. 
Bukan sekali dua, tetapi berulang kali. 
Sehingga terkeluar bicara, "Apa yang dimahukan sebenarnya?"

Jika ikutkan hati, memang saya tidak mahu lagi menduduki ujian memandu. 
Jika ikutkan rasa, saya akan biarkan fail kerja berhabuk.

Namun, jika ikut hati, saya akan mati; Jika ikut rasa, saya akan binasa. 
Jadi, bagaimana? Ketika itu, saya akan ingat kisah seorang chef yang gagal berkali-kali.

Chef tersebut bukanlah pelajar jurusan kulinari. 
Malah, saya sendiri kurang pasti, bagaimana chef boleh terlibat dalam bidang masakan. 

Apa yang saya pasti...
Chef berlatih membuat tat nanas 22 kali sebelum berjaya mencapai kualiti sebenar. 
Chef berlatih membuat pau selama sebulan sebelum berjaya menghasilkan rasa yang sedap. 
Chef berlatih membuat kuih apam selama dua minggu sebelum berjaya mendapatkan tekstur dan rupa yang elok. 

Sehingga kini, chef terus berlatih menghasilkan masakan yang enak-enak.  
Sering saya terfikir, adakah tidak wujud frasa 'berhenti mencuba' dalam kamus hidup chef?  

Chef bukanlah sehebat Mat Gebu, Azlita (Masam Manis) atau Chef Wan.  
Chef tidak pernah muncul di majalah. Di kaca televisyen dan radio? Jauh sekali. 
Malah, jumlah klien chef boleh dibilang dengan jari. 

Dan sebenarnya, 
chef itu ialah Ummi. 

Dari situ, saya sedar, saya bukan gagal.
Kerana definisi gagal ialah,

"Apabila seorang manusia tidak mahu lagi mencuba, lantas berhenti memperbaiki diri."

Tuesday, December 9, 2014

"Siapa nak join?"

 Bismillah.


"Kakak! Mana aci! Giliran Wawa pula."

"Mana ada. Asyik Wawa sahaja yang menang. Bagilah peluang kat Kakak!"

"Mana boleh!"

Di kala rumah riuh-rendah dengan jeritan, Ummi mencapai sebuah buku berkulit merah.

"Ummi rasa, Ummi mahu baca buku. Siapa mahu join?"

Serta-merta pergaduhan berhenti.

Begitulah kami semasa kecil. Sesi bercerita ialah penawar untuk menyembuhkan rajuk, meleraikan gaduh.

Sesi bercerita kami tidak pernah lama. Hanya satu cerita untuk satu sesi. Buku yang digunakan juga hanya sebuah, buku berkulit merah.

Cerita-cerita di dalam buku tersebut diulang dan terus diulang. Sampai bila, hanya Tuhan yang tahu.

Kerana apa yang memaknai momen tersebut bukanlah cerita semata, tetapi, sesi duduk bersama dan menelusuri cerita.

Kini, apabila dua orang adik saudara kami bergaduh, Wawa akan mengambil buku berkulit merah lalu berkata,

"Kak Wawa mahu baca buku. Siapa mahu join?"

Kenangan itu benar-benar terpahat.
Dan kami mahu kanak-kanak lain turut menikmati saat sebegitu.

Sayap Kecil Menuju Syurga

Bismillah.



"Cuba tengok burung itu!"

Saya menoleh dan terpana.

"Sayapnya sahaja sukar untuk kita lihat. Bagaimana agaknya ia terbang jika angin kencang?"

Bahu dijungkit. "Pasti ia sering menjadi sasaran burung besar."

"Tetapi, boleh jadi haiwan lain tidak sedar kehadirannya kerana ia terlalu kecil. Kita sahaja hampir tidak perasan ia bertenggek di situ."

"Betul. Tapi, akan ada yang sentiasa sedar kehadiran burung kecil itu."

"Siapa?"

"Tuhan."

Kami sama-sama tersenyum.

Benar, burung itu yakin pada Tuhan.
Burung itu yakin, saiz kecil adalah terbaik untuk diri.
Burung itu yakin, sayapnya punya fungsi.
Burung itu yakin, di mana sahaja ia berada, Tuhan pasti memerhati dan melindungi.

"Semoga, keyakinan kita kepada Tuhan persis burung bersayap kecil."

Mata masih tertancap pada burung kecil yang sudah terbang.
Ke mana ia pergi? Saya sendiri kurang pasti.

Apa yang saya pasti, saya mahu terbang ke syurga, walau dengan sayap kecil.
Dan saya tidak mahu terbang bersendirian.

Bukankah syurga itu terlalu luas untuk seorang?