Friday, January 9, 2015

Tukang Sapu

Bismillah.

Masjidil Haram (Mekah) atau Masjid Nabawi (Madinah) tidak pernah sunyi.
Manusia dari segenap pelosok bumi datang bersinggah.

Namun, masjid tersebut sentiasa bersih dan terjaga.
Almaklum, ahli gerakan unit kebersihan , atau bahasa mudahnya tukang sapu, juga ramai.

Melihat tukang-tukang sapu di masjid ini membuatkan saya teruja.
Mereka seolah-olah sangat menikmati kerjaya mereka.

Pernah suatu pagi, sekumpulan tukang sapu menyimbah air sabun ke lantai.
Dengan penuh riang, mereka meluncur beramai-ramai bersama batang mop, seolah di gelanggang ice-skating. 

Lalu, saya terfikir, "Apakah yang menyebabkan mereka begitu menikmati kerjaya sebagai tukang sapu?"

Maka, saya bertanya kepada beberapa orang tukang sapu.

"Saya datang ke sini kerana mahu berjiran dengan Rasulullah. Di sini, hari-hari saya dapat ziarah baginda. Moga-moga, saya berjiran dengan baginda sampai ke syurga."

"Saya mahu memahami Islam yang sebenar. Di sini, saya melihat Islam itu untuk semua manusia, bukan hanya bangsa Arab."

"Memang impian saya menetap di Bumi Barakah."

Saya menguntum senyum.
Aju saya lagi, "Tetapi, kenapa pilih menjadi tukang sapu?"

"Sebab memang cita-cita saya sejak kecil, cik. Namun, saya masih ada kerja sampingan," jawab salah seorang daripada mereka.

"Apa? Berniaga?"

"Bukan, saya jurutera yang terlibat dalam projek pembinaan masjid."

Saya terlopong.
Rupanya-rupanya masih wujud golongan manusia sebegini.

Mereka adalah 'ayat-ayat' Tuhan yang nyata.
Namun, hanya manusia yang celik mata hati, akan mampu melihat.

No comments:

Post a Comment