Saturday, January 31, 2015

Baling Selipar

"Jom main baling selipar," ajak seorang rakan.

"Maaf, saya mahu ke KLCC esok."

"Oh," balasnya, sedikit hampa.

"Kalian tahu, baling selipar ini realiti hidup?" celah seorang senior yang duduk berteleku tidak jauh dari kami.

"Maksudnya?" ujar saya, membetulkan duduk.

"Dalam hidup ini, kita sentiasa berusaha gilap potensi diri, seperti mana kita bina 'menara selipar'. Namun, ada musuh yang sentiasa bersedia menyerang dan membantutkan usaha kita."

"Musuh?"

"Ya, musuh, atau lebih maklum sebagai syaitan. Sebab itu, kita tidak boleh baling selipar sorang-sorang. Hidup ini juga tidak boleh sendirian. Seekor kambing lebih mudah diterkam serigala," balas senior tersebut, menguntum senyum.

"Awak main baling selipar sorang-sorang?" aju saya, berpaling kepada kepada rakan di sebelah.

"Kami berlima. Perlukan lagi seorang."

"Cuba ajak senior tu."

"Senior mana?"

"Yang duduk dekat dengan kita tadi. Dia analogikan baling selipar dengan hidup," balas saya.

Rakan saya menggaru kepala. "Ada senior tadi? Saya rasa, hanya kita berdua di ruangan ini."

"Heh?"

No comments:

Post a Comment