"Apa cita-cita kalian?" aju Cikgu Zul.
"Doktor," ujar gadis berambut ikal.
"Chef!" sahut lelaki berbaju biru.
"Saya mahu jadi preman beriman."
Serta-merta, semua mata tertumpu kepada gadis bertudung putih di penjuru kanan kelas.
Cikgu Zul pula tersenyum mendengar jawapan gadis bertudung putih.
"Ya, kita benar-benar perlu preman yang beriman."
"Tapi, cikgu, preman kan memang orang jahat. Suka bergaduh, berbahasa kasar, siap rekrut budak sekolah untuk jadi geng..." celah seorang pelajar lain.
"Macam mana kalian begitu yakin preman memang jahat?" betah lelaki berbaju biru.
Senyuman Cikgu Zul semakin melebar.
"Nampaknya, perbincangan kita semakin menarik... dan panas. Kenapa kamu kata tidak semua preman jahat?" aju Cikgu Zul, memandang lelaki berbaju biru.
"Ayah saya preman, dan ayah saya baik," jawab lelaki berbaju biru, membuatkan semua tersentak. Pelajar di kiri dan kanan beliau menggerakkan kerusi, sedikit menjauh.
"Malah, pernah suatu ketika, ayah mengacukan senapang kepada saya dan adik. Saya masih ingat, beliau menyuruh kami diam. Kami benar-benar takut."
"Ayah awak buat macam tu? Cikgu, saya fikir kes ini perlu dilapor," gadis berambut ikal bersuara.
"Sabar boleh? Biar dia selesaikan cerita. Awal-awal sudah suudzhon (sangka buruk). Adab kamu tertinggal di rumah?" betah ketua kelas, disusuli tawa seluruh kelas.
Gadis berambut ikal membalas, "Maaf. Adab memang saya tinggalkan di rumah. Kata Ibu, bimbang ia terbuang air atau bertelur di kelas. Almaklumlah, Adab itu hanya tahu berkokok."
Kelas bertambah riuh dengan hilai tawa.
Gadis berambut ikal hanya tersengih nakal.
"Adab si ayam memang perlu ditinggalkan di reban. Adab sopan diri perlu dibawa ke mana-mana, hatta ke tandas! Baik. Di mana kita tadi ya? Oh, saya dan adik benar-benar takut. Kemudian, ayah menurunkan senapang dan berbisik kepada kami," ujar lelaki berbaju biru. Dipandang wajah rakan-rakan di sekeliling.
"Kata ayah kepada kami, 'Ssh... Kalian boleh main, tetapi dengan suara perlahan. Jika kalian bising, solat ibu akan terganggu. Mahu tambah akaun simpanan dosa?' Kami menggeleng dan teruskan bermain."
"Tindakan ayah kamu menegur itu benar. Cuma, penggunaan senapang itu merbahaya dan boleh mengakibatkan trauma," kata Cikgu Zul.
"Bagaimana mungkin saya trauma jika yang diacu itu hanya senapang kayu mainan, cikgu?" balas lelaki berbaju biru.
Sekali lagi, seisi kelas tertawa.
Semua tertawa melainkan seorang - gadis bertudung putih.
"Ayah awak preman, tetapi, bukan preman beriman."
"Awak kata ayah saya bukan preman beriman. Jadi, siapa preman beriman bagi awak?"
"Preman beriman itu," kata gadis bertudung putih, "ialah preman yang berusaha untuk tidak jadi preman. Ada banyak lagi pekerjaan selain menjadi preman. Preman yang beriman akan berani untuk keluar dari kepompong kebiasaan dan mencari jalan untuk memperbaiki diri. Malah, dia akan ajak preman lain untuk keluar dari dunia berlumpur itu. Bukankah iman itu sifatnya menggerakkan dan membersihkan?"
"Bagaimana kalau saya katakan, ada orang terpaksa menjadi preman?" celah seorang pelajar.
"Tuhan sudah memberikan kita kuasa untuk memilih, bukan begitu?"
"Ya, manusia boleh memilih. Tetapi, dunia kini penuh dengan orang jahat. Orang baik pula sangat sedikit. Pilihan menjadi terhad," betah lelaki berbaju biru.
"Yakin?" aju gadis berbaju putih.
Lelaki berbaju biru mengangguk.
"Namakan orang yang sejahat Abu Lahab, Abu Jahal atau paling tidak, Firaun. Berapa jumlah nama yang kamu boleh berikan?"
Lelaki berbaju biru terdiam.
Bahkan, seisi kelas, termasuk Cikgu Zul terpaku.
"Sebenarnya, orang jahat sedikit sahaja di muka bumi ini. Orang baik, ramai. Namun, golongan yang lebih ramai ialah orang yang bersikap berkecuali. Boleh saya katakan, golongan berkecuali ini lebih teruk daripada orang jahat," terang gadis bertudung putih.
"Saya tahu kenapa awak kata begitu. Mereka hanya berdiam diri, tidak berbuat apa-apa. Mereka pentingkan diri, kononnya tidak mahu terlibat dalam apa-apa isu yang timbul," tambah ketua kelas.
Gadis bertudung putih mengangguk.
"Kiranya, dengan diamnya mereka itu, mereka sebenarnya memberi lampu hijau dan lesen kepada golongan jahat. Bahasa mudah, mereka menyokong malah berkomplot dengan golongan jahat."
Cikgu Zul terdiam lama, merefleksi diri.
Ditatap wajah anak muridnya yang kini seramai 6 orang.
Jumlah yang terlalu sedikit bagi kelas yang saiznya boleh memuatkan tiga buah MPV.
Ya, jumlah pelajar yang datang ke sekolah semakin hari semakin kurang. Semuanya angkara kelompok preman. Mereka muncul dalam pelbagai rupa. Golongan profesional, pemerintah, rakyat marhaen malah gelandangan.
Namun, perjuangan mereka sama - membina empayar peribadi dengan menindas orang dan menggadaikan tanah warisan.
Cikgu Zul tahu, boleh jadi sekolah ini tidak lagi wujud pada bulan hadapan. Bahkan daerah ini juga akan luput dari peta dunia.
"Sudah tiba masanya kita keluar daripada golongan berkecuali. Iman itu harus disebar. Hanya dengan itu, daerah ini mampu bertahan," ujar Cikgu Zul.
"Sebab itu, saya mahu jadi preman. Bukan preman biasa. Saya mahu jadi preman beriman."